Langkau ke kandungan utama

SEJARAH PARTI ISLAM SE-MALAYSIA



Kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Butterworth, Seberang Prai. Penglibatan dan sumbangan PAS dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Kesedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak dan juga ayah kepada Perdana Menteri 5 ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan “Manifesto al-Badawi” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai.

PAS menyertai pilihan raya 1959 dan memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.


PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar “Membangun Bersama Islam”, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasa eksekutif negeri.



Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor.

PAS telah bergerak sendiri apabila berlaku krisis dalaman PAS yang menyebabkan tertubunya Parti Amanah Nasional. Pada tahun 2016, Setiausaha Agung DAP menyatakan bahawa Pakatan Rakyat telah terkubur. Pada PRU-14 , Pakatan Harapan telah berjaya memenangi PRU dan berjaya membentuk kerajaan pusat dan PAS berjaya merampas Terengganu dan kekalkan Kelantan serta hampir berjaya mendapat Perak dan Kedah. Kini, PAS kembali Bersama BN untuk sama sama menegakkan agenda penyatuan ummah demi kepentingan negara. Penyatuan ini dilihat telah mengugat keutuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas memenagi 3 pilihanraya kecil dengan majoriti yang besar.

Kesimpulannya, PAS merupakan sebuah parti politik yang sukar dirobek dasarnya iaitu memartabatkan Islam di Malaysia dan mentrasformasikan pentadbiran.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ECRL ? APA PERKEMBANGAN SEMASA ?

ECRL - East Coast Rail Link ECRL ialah projek yang dicadangkan untuk menghubungkan landasan kereta api antara  Kuala Lumpur  ke  Kota Bharu  melalui  Wilayah Ekonomi Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek ECRL telah mencetuskan "pergaduhan" antara Kabinet, ahli politik dan rakyat marhaen mengenai kos pembinaannya yang pada awalnya bernilai RM 98 billion. Namun begitu, setelah tampuk pemerintahan kerajaan baharu iaitu PH. Mereka telah berjaya mengurangkan kos pembinaan daripada RM98 billion kepada RM48 billion dengan mengurangkan jarak landasan sebanyak 40kilometer. Hal ini berjaya disebabkan oleh pemeterian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) yang mana Malaysia diketuai oleh Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Tun Daim Zainuddin.                                 ...

MAKANAN - EKONOMI

Makanan merupakan elemen penting untuk kelangsungan hidup dan ekonomi sesebuah negara. Oleh hal yang demikian, makanan perlu diuruskan dengan sistematik dan teratur disemua peringkat. Jika tidak, ia akan menyebabkan berlakunya krisis makanan yang akan membantutkan sistem sosial dan ekonomi. Krisis makanan tidak asing lagi dalam dunia pada hari ini. Perkara ini dapat dibuktikan dengan berlakunya krisis makanan global pada tahun 2007-2008 iaitu berlakunya peningkatan harga makanan yang melambung tinggi. Sebagai contoh, ‘Rusuhan Tortilla’ di Mexico yang disebabkan oleh kenaikan harga tortilla iaitu makanan ruji mereka dan ‘Mogok Tempe’ yang dilakukan oleh para peniaga disebabkan peningkatan harga kacang soya. Kini, pada tahun 2020 berlaku krisis kesihatan iaitu pandemik Covid-19 yang telah merencatkan pengeluaran makanan disebabkan oleh perintah berkurung  dilaksanakan hampir seluruh dunia. Krisis ini telah membuktikan bahawa sekuriti makanan berada pada tahap yang membimbangkan. Fakt...

EPISOD 3 : BERGANJAK KE TAHAP YANG BARU

Sambungan daripada episod yang lalu ye geng, aku meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim (1).  Aku mengambil keputusan untuk ambil STPM. Masa ni impian aku untuk cemerlang kali ni memang betul betul bulat. Penggal 1 aku mencapai keputusan png 3.5 , ni adalah langkah pertama belum masuk ke langkah langkah lain. Aku dapat 1A 1A- 1B+ 1B. Aku mengambil keputusan untuk repeat 2 kertas iaitu Sejarah dan Pengajian Am. Penggal 2, aku mendapat keputusan yang sama 3.5 dengan 2A- 2B+ . Macam yang lepas jugak aku repeat 2 paper. Subjek Sejarah yang paling seram masa aku STPM dulu. Apa tak yaa 2 penggal tak dapat A. Penggal 3 aku, result aku still sama png 3.5 . Hahahaha.. Hebat tak result ? Angkat bakul sendiri jarang-jarang .. Hehehehe.. Aku gurau ye geng , korang jangan ambil serius okayy ! Tujuan utama aku buat benda bukan sebab nak tunjuk result aku, tapi aku nak share dengan korang semua bagaimana aku bangkit dari insan yang lemah dulu, menjadi orang yang kuat d...