Langkau ke kandungan utama

TREND PERTUMBUHAN KEPENDUDUKAN, OUTPUT, GUNATENAGA DAN UPAH DI MALAYSIA


Secara umumnya, ekonomi dapat dilihat daripada sudut permintaan dan juga penawaran. Ia juga terdapat dalam pasaran buruh iaitu permintaan buruh dan penawaran buruh akan menentukan keseimbangan pasaran. Dalam pasaran buruh terdapat 3 ‘pemain’ ekonomi iaitu buruh, firma dan kerajaan. Ketiga-tiga ini mempunyai matlamat yang berbeza iaitu buruh untuk memaksimumkan utiliti, firma untuk memaksimumkan keuntungan dan kerajaan untuk kesejahteraan isi rumah seperti gaji minimum.
Elemen yang penting penghasilan pengeluaran meliputi modal, buruh, usahawan dan tanah. Pada peringkat awal pembangunan ekonomi negara, perkara yang harus dilakukan adalah mengumpul modal. Dengan adanya modal, maka akan membolehkan pembinaan infrastruktur serta peningkatan mekanisasi dan teknologi di dalam ekonomi. Seterusnya, proses pengeluaran meningkat dan mampu mencipta peluang pekerjaan untuk tenaga kerja. Namun begitu, ia akan mencapai satu tahap yang maksimum iaitu penambahan modal dan buruh melampau akan merugikan sesebuah negara. Oleh itu, perkembangan teknologi dapat menyeimbangkan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang. Namun demikian, perkembangan teknologi juga perlu seiring dengan perkembangan pembangunan sumber manusia. Pembentukan pekerja mahir atau penambahbaikan modal insan adalah penting untuk meningkatkan produktiviti buruh. Peningkatan produktiviti buruh merupakan sumber terpenting untuk pertumbuhan ekonomi. (Zulkiply Omar, 2016)

Sumber manusia dengan pasaran buruh adalah dua perkara yang berbeza tetapi mempunyai hubungan yang langsung. Ia dikatakan demikian kerana sumber manusia adalah komponen yang utama dalam pasaran buruh di seluruh dunia. Manusia perlu diberikan pendidikan yang sistematik, latihan yang efektif, dan tahap kesihatan yang tinggi bagi memastikan pasaran buruh berada dalam keadaan yang stabil dan kukuh. Oleh itu, ia akan mengambil masa yang agak panjang untuk sumber manusia masuk kedalam pasaran buruh.

            Pertumbuhan populasi di Malaysia adalah semakin menurun dari tahun 2000 hingga 2018. Ia adalah disebabkan oleh penurunan kadar kelahiran dan peningkatan kadar kematian telah memberi kesan kepada komposisi penduduk. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kesuburan di Malaysia menurun daripada 1.9 anak pada 2017 kepada 1.8 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2018. Kadar ini berada di bawah paras penggantian 2.1 anak, iaitu purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh reproduktifnya, tidak mencukupi untuk menggantikan dirinya dan juga pasangannya. Laporan itu juga menyatakan penurunan kadar kesuburan ini adalah disebabkan penurunan 1.3 peratus bilangan kelahiran yang direkodkan pada tahun 2017, iaitu daripada 508,685 kelahiran hidup kepada 501,945 pada 2018. (Berita Harian, 2019) Bagi peningkatan kadar kematian adalah disebabkan oleh perubahan struktur umur penduduk. Perkara ini adalah selari dengan peningkatan dalam peratus penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas. Seperti rajah 2 di bawah. Kadar upah dan juga produktiviti mempunyai hubungan antara satu sama lain. Ia juga mencerminkan hubungan di antara pekerja dan juga majikan. Pekerja akan menyumbangkan tenaga fizikal dan mental dalam penghasilan sesuatu produk atau perkhidmatan. Pekerja pula diberikan ganjaran dalam bentuk upah. Oleh itu, upah yang diterima pekerja seharusnya mengambarkan produktiviti mereka dengan sewajarnya. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai tahap produktiviti yang setaraf dengan negara berpendapatan sederhana yang lain. Secara ammnya, ia masih jauh dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini disebabkan oleh  kadar kemajuan teknologi yang lebih perlahan dan pembangunan modal insan yang masih pada tahap agak rendah. 

Pertumbuhan upah benar di Malaysia telah mengatasi pertumbuhan produktiviti dari tahun 2012 hingga 2017. Perkara ini telah membuktikan bahawa majikan membayar pekerja dengan upah yang lebih wajar bagi output yang dihasilkan. Pertumbuhan produktiviti pada tahun 2012 adalah 1.6% kemudian menurun kepada -0.9% pada 2013. Seterusnya meningkat kepada 3.7% pada 2014 dan stabil sehingga tahun 2017. Manakala, bagi pertumbuhan upah benar pula menunjukkan peningkatan dari tahun 2012 iaitu 4.3% kepada 6.0% pada 2013. Namun dari tahun 2014 sehingga 2017 berlaku penurun dari 5.7% kepada 3.8%.  Jika dilihat dari aspek jurang, kedua-dua elemen ini menunjukkan perkembangan yang positif kerana jurang semakin mengecil. (Bank Negara Malaysia, 2018). 

Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara adalah ditentukan oleh perubahan di dalam guna tenaga dan juga produktiviti buruh. Pertumbuhan produktiviti buruh adalah pertambahan nilai ditambah kepada produk dan perkhidmatan. Hal ini juga dipengaruhi oleh faktor seperti pertumbuhan Produktiviti Faktor Pelbagai (MFP) dan intensiti modal. Intensiti modal adalah penggunaan modal dalam tenaga buruh manakala MFP menyediakan dinamisme teknologi.  Pada 2013, tahap produktiviti buruh RM70,509 meningkatkan kepada RM 73,087 (tahun 2014) dan terus meningkat kepada RM75,634 (tahun 2015). Jika dilihat pertumbuhan guna tenaga ia terus menurun dari tahun 2013 ( 5.7%), tahun 2014 (2.3%) dan tahun 2015 (1.6 %). Perkara ini adalah disebabkan oleh ketidakpastian ekonomi global. Hal ini kerana, kadar pertumbuhan global akan bergantung pada kekukuhan pemulihan dalam aktiviti sektor swasta di Amerika Syarikat (AS), komitmen terhadap dasar-dasar berwibawa dan komprehensif untuk menyelesaikan krisis di kawasan euro serta kemampanan permintaan dalam negeri dalam ekonomi sedang pesat membangun. Namun begitu, pertumbuhan KDNK berlaku peningkatan daripada 4.7% tahun 2013 kepada 6.0% tahun 2014 kemudian turun sedikit pada tahun 2015 kepada 5.1%. Risiko kewangan dan risiko dasar telah berkurang berbanding dengan keadaan sejak dua tahun yang lalu. Pada separuh kedua tahun 2012,  langkah-langkah dasar yang diperkenalkan telah mengurangkan ketidakpastian dasar dan tekanan dalam pasaran kewangan. Prospek bagi ekonomi sedang pesat membangun secara relatifnya lebih menggalakkan, meskipun mudah terdedah kepada perkembangan luaran. Bagi kebanyakan ekonomi ini, permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020), sasaran tahap produktiviti RM93,300 dan pertumbuhan 3.7% pada tahun 2020. Produktiviti buruh Malaysia berkembang sebanyak 3.5% pada tahun 2016 kepada RM78,218 dari RM75,548 pada tahun 2015.  Malaysia berjaya mengekalkan pertumbuhan ini hasil daripada tumpuan kepada daya saing eksport Malaysia, penggunaan teknologi terkini dan keupayaan menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti tinggi adalah prasyarat penting untuk persediaan masa hadapan. Dari sudut pertumbuhan produktiviti buruh, berlaku peningkatan daripada 3.5% tahun 2016 kepada 3.8% pada tahun 2017. Hal ini adalah petunjuk yang baik kerana ia telah melebihi sasaran negara iaitu pada kadar 3.7%. Kerajaan telah melancarkan Blueprint Produktiviti Malaysia (MPB) bagi meningkatkan produktiviti bagi memastikan matlamat negara berpendapatan tinggi tahun 2020 tercapai.   Melalui program perkongsian awam-swasta, agensi kerajaan dan kementerian membantu merangka inisiatif supaya berjalan dengan lancar dan berkesan kepada kumpulan sasaran. Aspek KDNK pula, berlaku peningkatan dari 4.2% tahun 2016 kepada 5.9% pada tahun 2017.

Bagi memastikan  pertumbuhan dalam pasaran buruh terus maju dan mampan, kerajaan bersama pihak swasta perlu merevolusikan produktiviti. Produktiviti adalah mengenai bekerja dengan bijak berbanding bekerja keras. Ia mencerminkan keupayaan untuk menghasilkan output yang lebih baik dengan menggabungkan input dengan cara yang paling efektif melalui idea inovatif, kemajuan teknologi dan model perniagaan baru yang lebih baik. Selain itu, kecekapan pasaran buruh semasa perlu dipertingkatkan. Faktor-faktor yang mempunyai kesan terhadap kecekapan pasaran buruh negara termasuk halangan yang dihadapi dalam mencari dan membuang pekerja, kebolehan syarikat untuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir, hubungan rapat antara prestasi dan gaji serta hubungan kerjasama antara majikan dan pekerja. Selanjutnya, memperkasakan sistem pendidikan dan latihan kita untuk membentuk kemahiran yang diperlukan oleh ekonomi. Penyusunan sistem pendidikan perlu selari antara institusi pendidikan dan juga industri. Perkara ini akan meminimumkan masalah mismatch seterusnya mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat terutama graduan.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ECRL ? APA PERKEMBANGAN SEMASA ?

ECRL - East Coast Rail Link ECRL ialah projek yang dicadangkan untuk menghubungkan landasan kereta api antara  Kuala Lumpur  ke  Kota Bharu  melalui  Wilayah Ekonomi Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek ECRL telah mencetuskan "pergaduhan" antara Kabinet, ahli politik dan rakyat marhaen mengenai kos pembinaannya yang pada awalnya bernilai RM 98 billion. Namun begitu, setelah tampuk pemerintahan kerajaan baharu iaitu PH. Mereka telah berjaya mengurangkan kos pembinaan daripada RM98 billion kepada RM48 billion dengan mengurangkan jarak landasan sebanyak 40kilometer. Hal ini berjaya disebabkan oleh pemeterian perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) yang mana Malaysia diketuai oleh Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Tun Daim Zainuddin.                                 ...

EPISOD 3 : BERGANJAK KE TAHAP YANG BARU

Sambungan daripada episod yang lalu ye geng, aku meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim (1).  Aku mengambil keputusan untuk ambil STPM. Masa ni impian aku untuk cemerlang kali ni memang betul betul bulat. Penggal 1 aku mencapai keputusan png 3.5 , ni adalah langkah pertama belum masuk ke langkah langkah lain. Aku dapat 1A 1A- 1B+ 1B. Aku mengambil keputusan untuk repeat 2 kertas iaitu Sejarah dan Pengajian Am. Penggal 2, aku mendapat keputusan yang sama 3.5 dengan 2A- 2B+ . Macam yang lepas jugak aku repeat 2 paper. Subjek Sejarah yang paling seram masa aku STPM dulu. Apa tak yaa 2 penggal tak dapat A. Penggal 3 aku, result aku still sama png 3.5 . Hahahaha.. Hebat tak result ? Angkat bakul sendiri jarang-jarang .. Hehehehe.. Aku gurau ye geng , korang jangan ambil serius okayy ! Tujuan utama aku buat benda bukan sebab nak tunjuk result aku, tapi aku nak share dengan korang semua bagaimana aku bangkit dari insan yang lemah dulu, menjadi orang yang kuat d...

Tafsiran Ekonomi Perlembagaan

Perlembagaan negara merupakan undang-undang tertinggi dalam negara. Ia merupakan undang-undang bertulis dan pelindungan kepada kesejahteraan rakyat Malaysia. Terdapat 183 perkara yang melibatkan pembentukan kerajaan, kesamarataan ekonomi, kedudukan Melayu dan Islam, dan sebagainya.  Dalam Perlembagaan Persekutuan, aspek ekonomi turut dimaktubkan dalam beberapa Perkara seperti: 1. Pekara 5 (1) - Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan      dirinya kecuali mengikut undang-undang. - Jika dilihat dari aspek ekonomi, individu boleh membuat pilihan sendiri. Setiap individu mempunyai keperluan dan kehendak yang berbeza-beza.  2. Pekara 6 (1) - Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi.  - Individu tidak boleh menjadi buruh paksa/hamba. Jika dalam ekonomi Islam, konsep yang dipanggil ar-riqab. Golongan ini layak untuk menerima zakat seterusnya dapat memajukan ekonomi di peringkat mikro dan makro secara  amnya.   3. ...