Makanan merupakan elemen penting untuk kelangsungan hidup dan ekonomi sesebuah negara. Oleh hal yang demikian, makanan perlu diuruskan dengan sistematik dan teratur disemua peringkat. Jika tidak, ia akan menyebabkan berlakunya krisis makanan yang akan membantutkan sistem sosial dan ekonomi. Krisis makanan tidak asing lagi dalam dunia pada hari ini. Perkara ini dapat dibuktikan dengan berlakunya krisis makanan global pada tahun 2007-2008 iaitu berlakunya peningkatan harga makanan yang melambung tinggi. Sebagai contoh, ‘Rusuhan Tortilla’ di Mexico yang disebabkan oleh kenaikan harga tortilla iaitu makanan ruji mereka dan ‘Mogok Tempe’ yang dilakukan oleh para peniaga disebabkan peningkatan harga kacang soya. Kini, pada tahun 2020 berlaku krisis kesihatan iaitu pandemik Covid-19 yang telah merencatkan pengeluaran makanan disebabkan oleh perintah berkurung dilaksanakan hampir seluruh dunia. Krisis ini telah membuktikan bahawa sekuriti makanan berada pada tahap yang membimbangkan. Fakt...